Belum Lagi, Sayang.

Semalam,

Usai kelas petang, saya bergegas ke klinik doktor kegemaran saya dekat sini. Simptom-simptom yang saya alami dua-tiga hari lepas, saya ragui. Betul atau tidak? Saya tidak pasti.

Sudah dua bulan, “teman-baik” saya tidak hadir mengunjungi. Tetapi hanya ada “teman-yang-diragui-statusnya”, yang melawat cuma sehari dua. Selalunya, “teman-baik” saya ini memang datang tepat pada masa kiraan. Jika lambat pun sehari dua. Which is normal, kata doktor lah~

Saya risau kalau-kalau ada penyakit lain. Saya risau. Saya paling risau, tidak dapat berfungsi seperti wanita normal yang lain. Cukup-cukup risau. 😦

Doktor SF menyambut saya dengan salam dan senyum. Tanpa lengah, saya ceritakan masalah yang saya alami. Sudah dua bulan “teman-baik” saya tidak hadir, badan saya kurang selesa, mual-mual dan pening. Doktor SF tersenyum lebar. Tetapi, saya sambung, saya merancang. Saya makan pil. Senyum Doktor SF hilang.

Saya diperiksa. Berbaring di atas katil dan seperti dalam cerita-cerita di televisi, perut saya disapu gel dan discan. Saat itu hati saya tersentuh. Ada rasa sedih. Ada rasa risau. Ada rasa tidak sabar untuk hamil. Hamil seperti wanita lain. Doktor SF menunjukkan saya di skrin monitor itu terpapar bentuk rahim saya. Kosong. Tidak berisi. Dan sebenarnya, saya tidak menjangka, ada rasa kecewa dalam hati. Tak banyak. Sedikit saja.

*Pagi semalam, sebelum suami pergi kerja, dia berkata, “Mengandung tak?” pada saya sambil tersenyum. Bahagia saya lihat senyum itu. Mungkin suami ada rasa mahu saya hamil.*

Untuk memastikan lagi, urin saya diuji dengan kit ujian pengesan HCG (Human chorionic gonadotropin). Hanya satu garis yang timbul. Sah. Saya tidak hamil.

Doktor SF menyatakan, hormon saya tidak stabil. Mungkin kerana pengambilan pil perancang itu. Oleh sebab “teman-baik” saya tidak hadir sudah dua bulan, darah tidak keluar dan ia menyebabkan badan saya mengalami simptom hamil dan tidak selesa. Oleh itu, penyelesaiannya, doktor membekalkan saya ubat untuk membantu “teman-baik” saya hadir. Selepas itu, jumpa doktor semula untuk consult sama ada mahu merancang atau tidak. Jika mahu merancang, doktor akan berikan beberapa option yang mungkin lebih baik dari memakan pil.

Saya masih berfikir mahu merancang atau tidak. Sudah berbincang dengan suami, dia tidak kisah. Keputusan ditangan saya. Saya masih berfikir-fikir. Siapalah tidak mahu anak kan? Saya mahu hamil. Saya mahu rasakan keindahan masa-masa kehamilan itu.

Mahu hamil sebelum graduasi atau selepas? Itu saja yang sedang saya fikir sebenarnya~ Hmm.. Masih belum ada keputusan. 😦

Advertisements

Author: AmyzLie

writing is just another emotion expression.

2 thoughts on “Belum Lagi, Sayang.”

Comments are closed.