Rezeki Itu Seperti Hujan

Pada hari Isnin dan Selasa yang lepas, aku menghadiri sesi latihan VMWare – dengan seorang pegawai perempuan dan 3 orang programmer lelaki yang lain. Sebabkan aku dengan Puan A tu perempuan, jadi kami rapat masa sesi latihan tersebut. Kebetulan yang baik, tarikh lahir dia sehari selepas tarikh lahir aku pada tahun yang sama.

Kebetulan yang baik.

Puan A Pegawai Teknologi Maklumat, berhenti dari swasta sebab nak masuk kerajaan. Cantik. Putih. Dah kahwin, ada 3 orang anak. Dua daripadanya kembar. Ada master (bila ada master, tangga gaji permulaan untuk Peg Teknologi Maklumat adalah lebih tinggi dari kemasukkan dengan kelayakan ijazah). Memandu Honda City.

Adakah aku menghitung kekayaannya? Tidak. Aku lihat kejayaan yang dia kecapi dalam hidup. Her life is good. Better than mine la of course. Bukan dia saja yang lebih baik dari aku. Sebab aku bandingkan diri aku dengan dia di sini adalah disebabkan faktor umur yang sama, tapi mengecapi kejayaan hidup yang berbeza.

Dia sudah berjaya dalam hidup. Sebab pada usia 30, dia sudah punya 3 anak, ada Master, kerjaya tetap dan memandu kereta boleh dikatakan mewah. Sudah tentu, ada rumah sendiri. Di Shah Alam.

Bagi aku, hidupnya sudah lengkap dan sempurna. Satu kehidupan yang baik. Yang mana, masa kini ramai orang kecapi dan masih ramai juga yang ingini.

Kawan-kawan rapat aku pun – macam Daun dan Effa (Kira dalam lingkungan umur yang sebaya) – pun punya kehidupan yang lengkap. Keluarga, rumah, kenderaan dan kerjaya yang bagus-bagus. Syukur Alhamdulillah. Yang bujang, pula macamΒ  Nett, Awin, Cida dan Ika pun punya kehidupan yang baik. Ada rumah sendiri, kenderaan, pekerjaan yang bagus. Kahwin? Tak apa. Masa bujang yang panjang ni lebih banyak masa untuk balas jasa ibu bapa.

Itu kan rezeki namanya. Rezeki masing-masing. Padang orang hijau, padang kita mungkin tidak hijau. Tapi langit kita sentiasa cerah. Maksud aku. Allah sentiasa memberikan kita rezeki dengan caraNya. Mungkin kita rasa Allah tidak berikan apa yang kita mahu, tapi Allah berikan kita satu perkara yang kita tahu kita perlu syukuri. Pendek kata, Allah turunkan rezeki dengan cara yang berbeza.

Bak kata nenek Rominah Sidek dalam cerita Pensil, masa Badrul tak dapat jual keropok lagi.

Allah beri rezeki macam hujan. Semua orang dapat.

πŸ™‚

Aku bersyukur dengan apa yang aku perolehi sekarang. Cukup makan, pakai, kenderaan dan tempat tinggal. Ada suami yang baik dan bertanggungjawab. Serta anak yang comel (Ewah, puji anak sendiri.).

Cuma aku masih belum settle down lagi di mana keluarga aku – iaitu kami bertiga (buat masa ini) – akan menetap. Rumah mana yang kami akan miliki. Kereta mana yang kami akan pakai satu hari nanti. Cuma yang pasti, kami akan menetap di JB la. Azlie kerja di Pasir Gudang, aku tak tahu lagi kat mana tempat kerja aku nanti. Mungkin di JB, atau Nusajaya. Dalam perancangan, kami akan menetap di kawasan tengah-tengah antara JB/Nusajaya dan Pasir Gudang. Senang untuk kami pergi dan balik kerja.

Keadaan kami berjauhan ni, buatkan semua itu tidak tercapai. Impian yang tertangguh. Satu hari nanti, bila kami dapat bersama semula. Bolehlah aku laksanakan apa yang diimpikan tu. Lengkapkan keluarga kami dengan semua itu – walaupun dengan hanya rumah, kereta yang kecil, tetapi ada dan selesa.

Kereta besar dan lain-lain materi itu – kadang-kadang lebih kepada memenuhi nafsu kemahuan. Orang ada, kita pun mahu. Sudah tentunya aku mahu sebuah kereta keluarga yang selesa untuk kami. Tapi perkara itu bukan satu keperluan yang besar. Boleh ditangguhkan. Sekarang pun ada kereta apa.. πŸ™‚

Sabarlah dulu. Walaupun sekarang tidak seperti yang diimpikan, tetapi masih elok dan baik. Syukur pada Allah. πŸ™‚

Advertisements